Wednesday, May 28, 2008

Buruk sangka musnahkan umat...

Pedoman.....

MENJAGA hati dan fikiran bukan perkara mudah. Kedalaman hati sukar diduga, manakala fikiran melangkaui batas dan sempadan. Satu daripada cabaran untuk menjaga hati dan fikiran ialah mengelakkan daripada buruk sangka. Alah berfirman, "hai orang yang beriman, jauhilah prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa, dan janganlah sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lain."
"Sukakah salah seorang antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka, tentulah kamu berasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang."(Surah al-Hujurat, ayat 12).
Begitulah kejinya buruk sangka. Bahayanya buruk sangka, bukan saja merosakkan diri, malah menjerumuskan orang lain kepada gejala permusuhan. Buruk sangka bukan satu tingkah laku yang boleh dilihat dengan mata kasar kerana ia sering dizahirkan melalui percakapan atau bahasa badan.
Ia bermula dengan pelbagai sangkaan dalam fikiran seseorang, seterusnya membawa hatinya tidak senang dan puas dengan keadaan itu dan bertolak daripada sangkaan buruk inilah, maka mendorongnya kepada umpat dan fitnah.
Sebagai contoh seorang wanita yang mengesyaki rakan sekerjanya, seorang gadis bujang, kononnya berkelakuan sumbang dengan ketua mereka. Ini adalah buruk sangka. Apabila wanita tadi bercerita dengan seseorang lagi rakan sepejabatnya, maka perbuatannya menjadi umpatan. Dan, perkara tidak benar yang dibincangkan adalah fitnah ke atas gadis berkenaan. Maka, apabila diketahui oleh gadis terbabit, terjadilah permusuhan.
Begitulah mudahnya suatu hati dan pemikiran yang jahat merosakkan hubungan insan. Oleh itu, seharusnya kita sentiasa berfikiran positif dan bersangka baik kerana kita mungkin tidak pernah terlintas bahawa pertuturan kita yang berlandaskan buruk sangka boleh menghancurkan hubungan sesama manusia.
Ini adalah peringatan untuk diri-sendiri dan rakan-rakan yang amat disayangi

No comments: